Sejarah Sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang

Era Pascamerdeka (1956 -1957)

Pada tahun 1956 setahun sebelum Tanah Melayu mendapat kemerdekaan, kerajaan British menubuhkan sekolah ini. Lokasi yang dipilih terletak di atas sebuah tapak yang bertanah rendah dan berpaya seluas 7.5 ekar. Terdapat hanya sebatang jalan kecil sepanjang 50 meter ke Jalan Gajah Berang sebagai jalan penghubung ke sekolah.

Pada awalnya, sekolah ini terdiri daripada sebuah blok bangunan batu 2 tingkat yang mengandungi 6 buah bilik darjah, bengkel-bengkel dan sebuah tandas. Sebuah bilik darjah dijadikan bilik guru. Terdapat juga sebuah binaan sementara yang beratap rumbia, tempat untuk menjual makanan. Walaupun bengkel-bengkel telah siap dibina, namun ia tidak dapat digunakan kerana pemasangan mesin-mesin belum lagi dilakukan.

Sesi persekolahan bermula pada 9 Januari 1956. Bilangan pelajar ketika itu seramai 157 orang yang terdiri daripada pelajar lelaki sahaja. Bilangan tenaga pengajar pula seramai 6 orang. Pengetua pertama sekolah ini ialah En. Tan Gim Ann. Beliau menerajui dan memimpin sekolah sehingga tahun 1958 dengan bantuan 5 orang guru perintis yang lain iaitu Messrs. M.C. Kailasapathy, En. M.C. Oomen, En. Tan Teng Ghee, En. A.M. Narayanan dan En. Yoong Cheong Pin.

Pelbagai masalah terpaksa dihadapi oleh pengetua dan para guru seperti bilangan bilik darjah yang terhad dan ketiadaan kemudahan padang permainan. Para pelajar hanya dapat menjalankan aktiviti permainan ping pong dan catur sahaja. Mereka dibahagikan kepada 4 buah rumah sukan iaitu Peng Soon, Dhyan Chand, Owens dan Hutton. Rumah-rumah sukan tersebut diberi nama sempena tokoh-tokoh sukan yang terkemuka. Kerana sekolah ini tidak mempunyai makmal sains, guru-guru sains terpaksa meminjam dan menggunakan sepenuhnya makmal sains Sekolah Tinggi Melaka pada hari Selasa dan Khamis. En. Tan Gim Ann juga terpaksa membuat kerja-kerja perkeranian selama setahun tujuh bulan di samping menjalankan urusan pentadbiran sekolah sebelum ketibaan kerani.

Kedatangan tahun 1957 membawa kepada peningkatan dalam jumlah keseluruhan pelajar iaitu seramai 226 orang. Kemasukan 75 orang pelajar baru Tingkatan 1 menyebabkan sekolah terpaksa bergelut dengan masalah kekurangan bilik darjah. Bilik darjah yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan pelajar. Untuk mengatasi keadaan ini, bilik guru, bilik bacaan dan bengkel logam terpaksa diubah suai menjadi bilik darjah.Para guru terpaksa menggunakan ruangan koridor sebagai tempat melakukan kerja-kerja di luar bilik darjah. Bilik pengetua pula telah dibahagi dua untuk menyediakan ruangan bagi Bilik Bacaan atau Kelas Bahasa Melayu. Pada akhir tahun, cogan kata sekolah ini telah dicipta dengan mengambil kata-kata Latin iaitu "Labor Omnia Vincit" yang bermaksud "Usaha Mengatasi Segala-galanya".

Dekad Pertama (1958 - 1968)

Dalam sepuluh tahun pertama selepas era pasca merdeka, sekolah ini banyak mengalami transformasi dari segi pembangunan fizikalnya. Kerja-kerja pembinaan dan penambahan 3 blok baru bangunan sekolah dan padang giat dijalankan. Kesibukan dan bunyi bising dari kerja-kerja di tapak pembinaan tidak menghalang sesi persekolahan 1958 daripada diteruskan. Seramai 231 orang pelajar lelaki baru memasuki Tingkatan Satu dan Peralihan. 4 buah kelas tingkatan 1 dan 2 buah kelas peralihan terpaksa ditukarkan ke sesi petang kerana masalah kekurangan bilik darjah. Masalah ini hanya dapat diatasi selepas kerja-kerja pembinaan siap sepenuhnya pada penghujung bulan Mac.

Tahun 1958 mengungkap beberapa peristiwa penting yang julung-julung kalinya berlaku di sekolah ini. Pada 3 April, sekolah ini menerima penghormatan yang tinggi apabila Ketua Pegawai Pelajaran Melaka, Dr F.J.A Rawcliffe membuat kunjungan rasmi kali pertama. Di samping itu, sekolah ini diserikan dengan kehadiran sekumpulan pertama pelajar perempuan Tingkatan 1 dan Peralihan seramai 106 orang pada bulan Mei. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga telah diasaskan bagi menjalinkan kerjasama rapat antara ibu bapa dan guru. Pengerusi pertamanya ialah Ahli Parlimen Melaka, Datuk Tambychik bin Karim. Seterusnya, kumpulan pertama pelajar tingkatan 3 telah menduduki Peperiksaan LCE dan keputusannya ialah 62%. Sebuah majalah sekolah yang pertama, The Torch telah berjaya diterbitkan pada tahun ini. The Torch melambangkan obor yang menyinari setiap pelajar yang menyertai sekolah ini. Padang sekolah SMK Gajah Berang telah siap pada penghujung bulan Disember selepas dua tahun ketiadaan padang. Sebelum ini, warga SMK Gajah Berang terpaksa menggunakan padang Sekolah Inggeris Tengkera dan Sekolah Anglo-Chinese untuk latihan sukan dan pertandingan.

Selepas persaraan En. Tan Gim Ann, En. Tan Boon Lin dilantik sebagai pengetua baru pada tahun 1959. Tahun ini merupakan tahun yang bersejarah kerana upacara perasmian sekolah ini telah disempurnakan oleh mendiang Tun Tan Cheng Lock pada 16 Mei 1959. Kemuncak upacara tersebut ialah pembukaan tirai plak perasmian oleh Tun Tan Cheng Lock. Plak tersebut telah ditempah khas untuk mengabadikan detik bersejarah tersebut.

Yang Dipertua Negeri Melaka yang kedua, Tuan Yang Terutama Tun Hj. Abdul Malek bin Yusof telah mengadakan lawatan rasmi beliau yang pertama ke sekolah ini pada 18 Mei 1960. Beliau telah diiringi oleh Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Encik Abdul Ghafar Baba, Ketua Pegawai Pelajaran Negeri Melaka dan beberapa orang pegawai penting kerajaan yang lain. Surat penghargaan telah diberikan kepada sekolah dan para pelajar. Pada 12 November pula, Hari Ucapan julung-julung kalinya diadakan. Ketua Menteri Melaka, YAB Encik Abdul Ghafar Baba telah sudi memenuhi jemputan sebagai tetamu kehormat untuk menyampaikan hadiah kepada para pelajar yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Pada tahun 1962, En. Khoo Heng Hock menjadi Pengetua ke-3 yang menggantikan tempat En. Tan Boon Lin. Di bawah pentadbiran beliau, beberapa perubahan telah dibuat. Antaranya termasuklah menukarkan nama-nama rumah sukan kepada nama tokoh-tokoh yang berjasa kepada sekolah dan Negeri Melaka iaitu Ee Yew Lin, Tan Cheng Lock, Tan Gim Ann, Hang Tuah dan Leong Yew Koh. Gelanggang tenis dan gelanggang bola keranjang juga telah dibina di bawah pimpinan beliau. Pengetua ke-5, En. Kok Swee Hong pula menumpukan usahanya dalam meningkatkan prestasi peperiksaan sekolah dan menambahkan lagi bangunan baru bagi menampung pertambahan bilangan pelajar setiap tahun.

Era Pembangunan (1969 - 2000)

Dari tahun 1969 hingga tahun 2000, sekolah ini berada di bawah pentadbiran 7 orang pengetua. Pelbagai usaha dan sumbangan telah dilakukan untuk membangunkan prasarana sekolah dan meningkatkan prestasi akademik serta kokurikulum para pelajar. Antaranya, pada tahun 1971, pengetua sekolah, Encik Tai Yen Chuan (1965-1975)  telah memulakan kelas bagi Tingkatan 6 Aliran Sains. Pelajar-pelajar lepasan Tingkatan 5 yang berjaya dalam aliran sains dari sekolah ini dapat melanjutkan pengajian ke Tingkatan 6. Wang sewa sebanyak RM40,000.00 dikeluarkan untuk melengkapkan makmal sains, menambah buku-buku teks dan rujukan Tingkatan Enam di perpustakaan serta menampung perbelanjaan lain. Pasukan ragbi sekolah  berjaya menjadi johan di peringkat kebangsaan.Pada tahun 1975, bangunan baharu yang terdiri daripada bengkel elektrik, kaji sawat, bilik makmal dan kelas Tingkatan 1 siap dibina di bahagian belakang kawasan sekolah yang berhampiran dengan padang.

Bagi membantu murid-murid SMK Gajah Berang yang menghadapi masalah kewangan, pengetua sekolah yang ke-7, Encik Seow Kim Swee (1976-1979) telah mengambil inisiatif menubuhkan "Tabung Murid-murid Miskin". Pada tahun 1979, berkat tunjuk ajar para guru dan kegigihan pelajar-pelajar Tingkatan 6, SMK Gajah Berang berjaya mencapai keputusan tertinggi di seluruh Malaysia dalam Peperiksaan HSC (aliran Sains) dengan keputusan 71.4%.

Di bawah kepimpinan pengetua yang ke-8, Encik Goh Kwee Meng, taraf sekolah ini dinaiktarafkan  kepada gred "A" kerana mempunyai kelas Peralihan hingga kelas Tingkatan 6 dan mempunyai jumlah pelajar yang melebihi 1200 orang.

Beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan oleh Encik A. Kalimutu, pengetua yang ke-9 semasa pentadbirannya seperti melengkapkan kemudahan-kemudahan bersukan, menggalakkan aktiviti bersukan pada waktu petang. Beliau juga melengkapkan kemudahan di perpustakaan dan mengadakan bilik rujukan untuk pelajar. Pada tahun 1982, beliau memperkenalkan tali leher sekolah untuk dipakai oleh semua murid dan guru sekolah. Ia merupakan satu langkah ke arah pembentukan dan mengekalkan suatu "identiti" sekolah ini serta menyemai semangat cintakan sekolah. Sistem merit dan demerit turut diperkenalkan bagi mempertingkatkan disiplin pelajar. Kutipan dana telah diusahakan oleh para pelajar untuk mendirikan jalan susur bagi menghubungkan bangunan-bangunan sekolah. Pada tahun 1986, "Skim Sarapan Untuk Murid-Murid Miskin" diperkenalkan untuk memberikan makanan dan minuman pagi kepada mereka yang memerlukannya. Skim ini dijalankan dengan wang bantuan daripada tabung murid-murid miskin SMGB. Pada tahun 1989, sekolah ini telah mula menerima pelajar perempuan di kelas Peralihan, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat. Penerimaan ini merupakan percubaan yang besar dalam sejarah sekolah ini. Pada 21 September 1989, Pusat Sumber sekolah ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Mohd. Hj. Kamarudin, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Pada tahun 1992, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka telah mencalonkan sekolah ini sebagai Sekolah Harapan.

Ketika Encik Kassim bin Abbas menjadi pengetua, dua buah kedai koperasi   telah diwujudkan. Selain itu,   dataran taman, air pancut, kolam ikan, parkir kereta guru telah dibina untuk menambah keceriaan  sekolah Bilik media turut dilengkapkan untuk kemudahan pelajar. Sekolah ini turut menyertai pertandingan drama TV3 peringkat kebangsaan dan telah memenangi tempat ke-3.

Usaha-usaha menambahbaik kemudahan sekolah diteruskan oleh pengetua yang ke-11 iaitu Encik Cheng Sheng Hua. Beliau menambah 5 buah komputer di bilik komputer, menyediakan  pendingin hawa  di perpustakaan dan  bilik guru.

Pada tahun 1997, Tuan Haji Yaamah bin Mohd. Dris selaku pengetua yang ke 12 telah melengkapkan kemudahan internet di sekolah dan menambah bangunan sekolah yang baharu untuk mengatasi masalah kekurangan bilik darjah. Beliau juga telah mewujudkan Homepage Pengakap dan Homepage SMK Gajah Berang. 

Bersama Milenium Menuai Kecemerlangan (2001 - 2010)

Dalam jangka masa 10 tahun selepas alaf baru, di bawah kepimpinan Encik Abu Hassan bin Ja'alam, dan Puan Hajah Umaizahrah Binti Alwi, SMK Gajah Berang mengorak langkah maju ke hadapan dan mencipta pentasnya yang tersendiri dalam arena pendidikan sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Pada tahun 2008, seramai 48 orang calon telah mendapat 8A dalam semua mata pelajaran dalam Peperiksaan Menengah Rendah. Keputusan ini adalah keputusan yang terbaik berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Bagi Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2008, SMK Gajah Berang juga mendapat keputusan yang memberangsangkan. Seorang calon mendapat 13A, 15 calon mendapat 12A, 15 calon mendapat 11A, 12 calon mendapt 10A dan 9 calon mendapat 9A. Bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia pula, 2 calon cemerlang mendapat 5A, 6 calon mendapat 4A dan 9 calon mendapat 3A.

Dalam kokurikulum pelbagai pencapaian turut diperoleh pada tahun 2009. Antaranya, Pasukan St John Sekolah telah menjadi johan keseluruhan Pertandingan Pertolngan Cemas Dan Kawad kaki di peringkat kebangsaan. Persatuan Pandu Puteri berjaya menjadi johan peringkat negeri dalam Pertandingan Pengucapan Awam dan Pertandingan Senamrobik Anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri.Persatuan Bahasa Melayu turut menjadi johan peringkat zon dalam pertandingan Bahas Ala Parlimen.Persatuan Sains Dan Matematik telah memenangi pingat emas dalam International Competition Assessment for School Anjuran New South Wales University.

Pada 27 April 2009, Sambutan Jubli Emas telah diadakan bagi menyambut Ulangtahun ke-50 sekolah ini. Pengetua sekolah ketika itu ialah Puan Hajah Umaizahrah Binti Alwi. Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Majlis Makan Malam Jubli Emas Yang ke-50, cetakan buku Kenangan Jubli Emas, Hari Kokurikulum, penjualan cenderahati Jubli Emas ke-50 dan pertandingan rekabentuk logo Jubli Emas ke-50.

Puan Hajah Umaizahrah Binti Alwi telah mencetuskan idea penubuhan Bilik Warisan SMK Gajah Berang dengan bermatlamatkan pemeliharaan warisan budaya sekolah bagi menjana kecemerlangan Institusi Pendidikan SMK Gajah Berang yang unggul. Dengan anggaran kos sebanyak RM25,000, Bilik Warisan telah berjaya diwujudkan hasil kerjasama ahli Panitia Sejarah, guru-guru cemerlang dan staf sokongan pada tahun 2009.

Era kecemerlangan (2011 - kini)

Tahun 2011 hingga 2017 menyaksikan kemantapan pentadbiran SMK Gajah Berang di bawah dua orang pengetua iaitu Puan Hajah Umaizahrah Binti Alwi dan Encik Roszelan Bin Majid sehingga membawa kejayaan demi kejayaan bagi SMK Gajah Berang dalam akademik dan kokurikulum. SMK Gajah Berang juga mengalami transformasi dan perkembangan fizikal bagi memenuhi impian menjadikan sekolah sebagai 'The Better School' untuk para pelajarnya. SMK Gajah Berang turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru yang tidak pernah berhenti memberi sumbangan bagi kepentingan sekolah dan para pelajar.

Beberapa sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru adalah membina Dataran Nilam telah dibina antara Blok Pusat Sumber dan Makmal Komputer bagi kemudahan pelajar dan guru untuk mengakses internet secara wireless (2011) ,memasang 30 kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjaga keselamatan di persekitaran sekolah (2013) dan menyediakan 7 buah SMART TV bagi pemasangan di Makmal Sains dan Bengkel Kemahiran Hidup (2017)

Pada tahun 2015, sekolah ini mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk menukar sepenuhnya genting bumbung bangunan pentadbiran dan menaik taraf siling bangunan. Pengurusan sekolah juga telah mewujudkan bilik khas untuk pengurusan disiplin, bilik untuk Bimbingan dan Kaunseling juga bilik gerakan di bahagian atas blok pentadbiran.

Bermula tahun 2016, sekolah ini terpilih untuk melaksanakan Program Dual Language Program (DLP) iaitu program pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris bermula dari tingkatan 1 untuk semua murid.

Pada tahun 2017, Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang mempunyai seramai 762 orang pelajar lelaki dan 599 orang pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1361 orang. Ia mempunyai seramai 112 orang guru yang terdiri daripada 25 orang guru lelaki dan 87 orang guru perempuan. Sekolah ini mempunyai sebanyak 52 buah kelas dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6 atas. Terdapat 8 buah kelas untuk setiap untuk arus Perdana dari tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. GBS juga mempunyai 12 kelas PRA Universiti aliran sains untuk rendah dan atas.

Rujukan

WikiPedia: Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang http://www.gajahberangalumni.com/content/about-gbs http://gajahberangschool.blogspot.my/ http://meb2091.1bestarinet.net/app/os#!0a395b6f598... http://meb2091.1bestarinet.net/app/os#!3ff4bd34d58... http://meb2091.1bestarinet.net/app/os#!922cdd1babc... http://web.archive.org/web/20170913184121/https://... https://www.facebook.com/SMK-Gajah-Berang-13015265... https://smkgb.wordpress.com/ https://www.youtube.com/embed/3BsvXvC70UY https://www.youtube.com/embed/51YvwdFBFKk